Carian
Tetapan Aras Suara Google Assistant Kelak Akan Berasingan Dengan Aras Suara Media
April 30, 2020 Fahim Zahar

Adakah anda pengguna peranti berhubung seperti Nest Hub atau Nest Home Mini (Google Home Mini)? Pasti menjengkelkan apabila anda sedang mendengar muzik pada tetapan aras suara 100% dan kemudian menyeru Google Assistant, suara pembantu digital ini turut mempunyai aras yang sama. Kuat, menjengkelkan dan mengganggu pengalaman pendengaran.

Kelak, perkara ini tidak akan menjadi masalah kerana Google akan mengasingkan tetapan aras suara Google Assistant dan aras suara media. Android Police melaporkan yang aplikasi Google Home pada iOS kini memaparkan “Preferred Assistant Volume Level” pada bahagian tetapan audio yang biasanya mengawal bass dan treble. Turut kelihatan adalah Auto Assistant Volume yang jelas sekali memberi petanda akan terdapat kawalan aras suara asing bagi media dan suara pembantu digital ini.

Walau bagaimanapun, tetapan aras suara ini masih tidak berfungsi. Google mungkin sedang mengujinya dan secara tidak sengaja dari bahagian pelayan mengemaskini bahagian tetapan aras suara ini dalam aplikasi Google Home. Apa-apa pun, ini adalah satu perkara menarik dan saya sendiri tidak sabar untuk menggunakannya. Sama-sama kita nantikan.

 

Komen