Kini nampaknya semakin banyak jenama komputer telah mula menggunakan APU AMD Ryzen 4000, dan diantaranya ialah HP, yang nampaknya akan mengemaskini komputer riba gaming mereka dengan komponen tersebut.
Komputer riba yang dikatakan ialah HP Omen 15. Model terbaru ini dilaporkan akan menggunakan AMD Ryzen 7 4800H yang hadir dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa, memori DDR4 dan storan SSD yang masih belum dinyatakan pada masa ini.
Dari segi pilihan GPU, HP nampaknya akan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 pada Omen 15 ini, menjadikannya sebuah komputer riba gaming yang berkuasa dan mungkin hadir dengan harga yang tidak begitu mahal.
Omen 15 ini juga memperlihatkan beberapa rekaan baru, khusunya di bahagian paparan dimana bingkai dahi kelihatan lebih nipis, dan skrin 15.6 inci yang dilaporkan “pantas”, dimana ia mungkin hadir dengan teknologi paparan Adaptive Sync ataupun FreeSync. Bahagian pad nombor pada HP Omen 15 baru ini juga dibuang, manakala bahagian papan kekunci kini hadir dengan sokongan nyalaan RGB.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah HP akan mula menjual komputer riba Omen 15 ini, tetapi melalui muka laman HP yang sudahpun dibuang, ia akan dijual pada harga 1370 Euro (~RM6460).