Di dalam filem Jurassic Park III, Spinosaurus menjadi dinosaur protagonis yang dipaparkan sebagai lebih ganas berbanding raja cicak zalim Tyrannosaurus Rex. Tetapi penemuan terkini yang diterbitkan di dalam jurnal Nature hari ini mengubah pemahaman ahli paleontologi mengenai haiwan purba ini. Berdasarkan rangka terbaru yang ditemui, Spinosaurus mungkin ialah dinosaur akuatik pertama yang berenang menggunakan ekor.
Penemuan diumumkan oleh Dr. Nizar Ibrahim yang merupakan ahli paleontologi dari University of Detroit Mercy. Pada tahun 2014 pasukan beliau menemui rangka Spinosaurus di daerah Kem Kem, Maghribi. Dari awal terdapat petanda rangka sepanjang 50 kaki ini berbeza dari spesimen yang ditemui sebelum ini. Pada tahun 2018 keseluruhan rangka berjaya digali keluar dan ia didapati ekor panjang yang lebih menyerupai seekor buaya.
Berdasarkan rangka yang ditemui, berkemungkinan besar habitat sebenar Spinosaurus ialah di dalam air dan tidak berdiri di atas dua kaki seperti yang dipamerkan di muzium dan filem. Ia juga memburu secara aktif di dalam air dan bukannya sekadar berdiri di gigi air.
Pemahaman sains mengenai dinosaur sentiasa berubah dengan penemuan spesimen baharu. Hanya sepuluh tahun yang lalu ramai tidak mengetahui Velociraptor adalah berbulu di kepala, T-Rex sebenarnya tidak berlari pantas dan lima tahun yang lalu teori dinosaur berkicau seperti burung mungkin dianggap fiksyen. Tetapi di dalam sains, fakta hari ini boleh berubah sekelip mata jika penemuan baharu yang lebih baik ditemui.
Sumber University of Detroit Mercy dan National Geographic