Baru – baru ini, Facebook telah menjalankan satu kajian bagi melihat proses perubahan tingkah laku pengguna di Malaysia ketika Ramadan. Dapatan kajian yang dikongsi kelihatan menarik.
Secara umumnya, 93% pengguna akan berkongsi mengenai pembelian dengan rakan-rakan dan keluarga menerusi aplikasi pemesejan. Kajian juga mendapati 45% daripada rakyat di negara ini akan menggunakan Facebook sebagai platform untuk mencari pelbagai tawaran dan promosi yang menarik.
Selain itu, sebanyak 72% daripada pengguna di negara ini sebenarnya tidak tahu mengenai produk yang mereka inginkan dan bagaimana untuk mendapatkannya. Hasil juga menunjukkan 58% daripada pengguna belajar mengenainya melalui media sosial dan 86% pula membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
Penularan wabak Covid-19 juga sedikit sebanyak telah mengubah norma hidup rakyat di negara ini. Sebanyak 48% pengguna kini lebih mengutamakan pembelian produk kebersihan diri. Selain itu, 52% pengguna juga kini telah mengurangkan aktiviti riadah dan peratusan pengguna yang kerap berbelanja secara atas talian kini meningkat kepada 32%.
Kajian ini dijalankan bertujuan membantu para peniaga untuk memikirkan semula mengenai strategi pemasaran mereka. Di Malaysia sahaja, 65% pengguna mengharapkan kepada produk dan perkhidmatan yang mengutamakan kesihatan. Ini bermaksud untuk mencapai sasaran, peniaga perlu mengubah kandungan yang releven untuk memenuhi keperluan pengguna.
Tapi, bagaimana untuk peniaga terus berhubung dengan dengan pengguna? Kunci utamanya adalah komunikasi. Atasi masalah ini melalui pemberitahuan khas di laman web atau melalui saluran media sosial dan emel. Selain itu, berikan alternatif yang tepat kepada pelanggan sekiranya berlaku kelewatan atau pembatalan dalam urusan penghantaran. Seterusnya, kongsikan juga pengumuman penting di media sosial dan sediakan halaman soalan lazim dengan senarai soalan yang mungkin ditanya oleh pelanggan.