Kebelakangan ini Intel telah memperkenalkan beberapa siri CPU baru Comet Lake khusus untuk komputer riba gaming dan juga produktiviti. Hari ini, Intel memperkenalkan siri CPU desktop generasi kesepuluh Comet Lake mereka yang akan tiba di pasaran global tidak lama lagi.
Siri CPU Intel Comet Lake ini masih lagi dibina menggunakan teknologi 14nm+ Skylake yang digunakan sejak sekian lamanya, dan Intel masih lagi boleh meningkatkan prestasi CPU ini menggunakan binaan tersebut.
Sama seperti dua generasi sebelum ini, siri CPU Intel Comet Lake ini hadir dengan model Intel Core i3, Intel Core i5, Intel Core i7 dan juga Intel Core i9. Apa yang menarik mereka sekarang ialah kehadiran ciri multithreading didalam kesemua CPU-CPU terbaru mereka.
Ini adalah penting kerana sebelum ini, selain daripada siri CPU Intel K yang boleh dilewahjam, kebanyakan, jika tidak kesemua CPU-CPU lain hadir dengan jumlah bebenang kuasa yang sama dengan jumlah teras.
Sebagai contoh, semua model CPU Intel Core i9 Comet Lake mempunyai 10 teras dan 20 bebenang kuasa, semua model Intel Core i7 mempunyai lapan teras dan 16 bebenang kuasa, manakala semua model Intel Core i5 mempunyai enam teras dan 12 bebenang kuasa, dan semua model Intel Core i3 mempunyai 4 teras dan lapan bebenang kuasa.
Model CPU paling berkuasa didalam siri Comet Lake ini ialah Intel Core i9-10900K. Seperti dikatakan sebelum ini, ia mempunyai sejumlah 10 teras dan 20 bebenang kuasa, dan mempunyai kelajuan asas 3.7GHz yang boleh dilewahjam ke 5.3GHz untuk satu teras dan 4.9GHz untuk semua teras.
Diantara ciri-ciri baru yang hadir pada siri CPU ini dan boleh diperlihatkan pada Intel Core i9-10900K ialah ciri melewahjam automatik Thermal Velocity Boost. Apa yang boleh dilakukan oleh ciri ini ialah ia akan melewahjam CPU anda ke tahap maksima berdasarkan suhu pakej CPU dimana hadnya ialah 70 darjah Celcius.
Apabila had suhu ini dicapai, ia akan menurunkan sedikit kadar lewahjam satu teras ataupun kesemua teras, tetapi ia masih akan beroperasi pada kadar lebih tinggi daripada kadar lewahjam asas. Apabila suhu CPU turun lebih rendah daripada 70 darjah Celcius, ia akan melewahjam kepada tahap tertinggi sekali lagi.
Ciri-ciri lain yang tiba melalui siri CPU Comet Lake ini termasuklah sokongan natif untuk WiFi 6, sambungan internet melalui kabel sepantas 2.5Gbps, dan sokongan untuk sambungan penghantaran data USB 3.2.
Dari segi sokongan papan induk, CPU Intel Comet Lake ini akan memerlukan penggunaan papan induk baru Intel Z490 dengan soket LGA 1200 yang bermakna CPU terbaru ini tidak akan boleh disokong oleh papan induk dengan soket LGA 1151 yang digunakan sebelum ini. Walaupun begitu, penyejuk CPU sedia ada masih boleh digunakan dengan gabungan CPU dan papan induk terbaru ini.
Intel mengatakan bahawa siri CPU Comet Lake ini akan mula tiba di pasaran global pada bulan Mei kelak, bersama-sama dengan beberapa pilihan papan induk daripada pembekal komponen terkemuka seperti ASUS, GIGABYTE, MSI dan sebagainya.