Apple iPhone SE merupakan telefon pintar paling terbaru daripada Apple, dimana ia hadir pada harga bermula RM1999, dan dijana dengan cip pemprosesan terbaru Apple, iaitu Apple A13 Bionic.
Terbaru, bercakap bersama pelabur ketika pengumuman penyata kewangan suku pertama, Tim Cook mengatakan iPhone SE menawarkan nilai yang baik kepada pengguna, dan ia adalah “lebih pantas berbanding dengan telefon pintar Android terpantas.”
Tim Cook menjawab hal berkenaan apabila ditanya berkenaan permintaan untuk iPhone SE, dan menyasarkan sejumlah pengguna Android akan beralih dan memilih iPhone SE.
Seperti ramai sedia maklum, cip Apple A13 Bionic sedia mencatatkan markah penanda aras yang tinggi jikalau dibandingkan dengan pelbagai cip pemprosesan di pasaran hari ini – termasuk dari Qualcomm.
Malah, Apple turut melakukan pengoptimasian menyeluruh dari rekaan cip pemprosesan, integrasi perisian, dan sebagainya. Hal ini membolehkan peranti berfungsi dengan lebih lancar dan pantas berbanding telefon Android yang tidak melalui proses sama.
Apa pun, kini terdapat beberapa pengeluar melihat ke arena sama, termasuk Google yang dikatakan akan mula membangunkan cip pemprosesan mereka tersendiri tidak lama lagi.