Platform edagang amat membantu sepanjang tempoh PKP ini. Pelbagai jenis hidangan Ramadan seperti roti John dan kuih tepung pelita masih boleh dinikmati walaupun tanpa pasar Ramadan yang masih diharamkan operasinya oleh kerajaan. Selain memesan makanan menerusi perkhidmatan seperti Foodpanda dan Grab, pengguna di Malaysia kini boleh melakukan pesanan terus dari dalam aplikasi Instagram.
Terdapat dua cara pesanan dapat dilakukan. Cara pertama ialah pergi ke akaun perniagaan yang menawarkan pesanan makanan. Butang Order Food akan terpampang pada perniagaan yang menawarkan pesanan menerusi Instagram. Cara kedua pula ialah terus dari Stories yang dimuat naik oleh perniagaan-perniagaan ini.
Bagi pemilik perniagaan pula, pelekat Order Food boleh diletakkan di dalam Stories bagi menunjukkan anda sedia menerima pesanan menerusi Instagram. Sebelum ini anda perlu melakukan tetapan pada akaun terlebih dahulu dan memilih rakan penghantaran makanan yang ingin digunakan. Di Malaysia Instagram memberikan pilihan menggunakan perkhidmatan Foodpanda dan Grab. Jadi bagi pengguna tegar Instagram, anda kini mempunyai satu lagi aplikasi untuk memesan makanan.