Cari @ Amanz

Cermin Mata Mengesan Suhu Tubuh Dibangunkan Di China Bagi Menentang Covid-19

Link Copied!

Semasa zaman wabak Maut Hitam di Eropah pada kurun ke-14, dianggarkan 75 juta penduduk Eropah meninggal dunia. Dari kegelapan ini muncul sinar di mana lebih banyak hospital dibina, kerajaan lebih cakna mengenai kaum miskin dan Shakespeare menulis mahakarya beliau King Lear. Pasca Covid-19 kelak pasti ada juga sinar dan kita hanya perlu pandang ke Timur untuk melihat inovasi awal. Di China kaca mata yang mengesan suhu tubuh telah dibangunkan bagi menyaring mereka yang mempunyai simptom Covid-19.

Kaca mata T1 Thermal Glasses dibangunkan oleh firma Rokid dengan kemampuan mengesan suhu tubuh 200 individu dala masa hanya 2 minit. Kerana ia dipakai pada kepala, ia lebih mudah alih berbanding menggunakan kamera termal yang disambungkan kepada sebuah skrin TV.

Menurut Rokid, T1 Thermal Glasses dilengkapi kamera 12-Megapixel dan dijana cip buatan Qualcomm. Rokid kini sedang membangunkan perisian yang membolehkan kaca mata ini menyukat suhu 4 individu serentak. Setakat ini sekitar 1000 pasang T1 Thermal Glasses telah terjual di China memandangkan negara tersebut sudahpun membuka semula ekonomi sejak dua minggu lalu.

Sedang negara lain membangunkan kaca mata realiti terimbuh, China lebih menumpukan usaha kepada peranti boleh pakai yang digunakan untuk mengawal populasi. Beberapa tahun yang lalu polis China menjadi yang pertama di dunia dengan kaca mata dengan sistem imbasan wajah yang digunakan untuk mengecam wajah penjenayah dan kamera 500-Megapixel yang boleh mengecam ribuan wajah secara serentak.


Komen ()