MySejahtera merupakan salah satu aplikasi utama dalam menawarkan sejumlah info berkaitan dengan Covid-19, termasuk kawasan panas penularan, dan memudahkan pengguna melakukan saringan dan penilaian kendiri berkaitan dengan penyakit berkenaan. Ia merupakan aplikasi pertama ditawarkan oleh kerajaan Malaysia, dan disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Terbaru, melalui kemaskini aplikasi MySejahtera yang baru, ia menyertakan pautan pantas ke MyTrace. Untuk makluman, MyTrace merupakan satu lagi aplikasi disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan fokus utama untuk pengesahan kontak rapat dan menggunakan teknologi Bluetooth untuk tujuan berkenaan.
Dengan akses pantas ini, ia lebih diintegrasikan bersama berbanding sebelum ini. Akses ini disediakan pada bahagian menu utama, berdekatan dengan pilihan untuk menyemak lokasi hotspot Covid-19. Pengguna boleh dengan mudah memuat-turun aplikasi MyTrace – atau mengaksesnya sekiranya ia telah terpasang pada peranti.
Selain kedua-duanya, satu lagi aplikasi berkaitan Covid-19 yang ditawarkan kerajaan adalah Gerak Malaysia yang disokong oleh SKMM dan juga PDRM. Ia lebih kepada bertujuan untuk mendapatkan kebenaran untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain sahaja.
Bagi anda yang menggunakan MySejahtera, boleh mengemaskini aplikasi anda hari ini, dan menikmati ciri integrasi pautan ke MyTrace.
- Muat-Turun MySejahtera untuk Android
- Muat-Turun MySejahtera untuk iPhone