Haier TAB Ialah Robot, Mop Dan Penyedut Hampagas Mudah Alih Tiga Dalam Satu

Haier TAB Ialah Robot, Mop Dan Penyedut Hampagas Mudah Alih Tiga Dalam Satu

Diterbitkan pada Mei 4, 2020 oleh .

Robot hampagas adalah satu trend yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ini mungkin kerana, harga jualannya yang semakin lama semakin murah dan semakin banyak variasi diperkenalkan. Jenama-jenama besar seperti Samsung pernah lancarkan edisi Star Wars, Xiaomi dengan pelbagai variasi dengan harga yang murah dan antara yang mula popular adalah Deebot.

Terkini, giliran Haier pula hadir dengan robot hampagas yang mempunyai keunikan tersendiri melalui Haier TAB. Apa yang menarik dengan robot hampagas mereka ini adalah ianya modular. “Enjin” robot ini boleh ditanggalkan untuk dijadikan sebagai hampagas mudah alih kompak untuk membuat kerja-kerja pembersihan di kereta, rak-rak, kawasan sempit atau juga pada atas katil atau sofa. Ini adalah satu keunikan yang tidak ada pada robot hampagas lain.

Seperti mana-mana produk dalam kategori yang sama, Haier TAB ini turut mempunyai kemampuan mop, membersihkan habuk-habuk dan permukaan kasar. Tetapi, menjadikan robot ini kelihatan lain daripada yang lain adalah terdapat gerigi terbina pada bahagian berus untuk memotong rambut-rambut yang gugur.

 

Pelbagai fungsi dan ciri lain turut hadir pada robot ini, seperti kawalan air meleleh, sedutan yang lebih kuat atau juga kawalan menggunakan WiFi atau arahan suara. Kuasa sedutan pada Haier TAB ini adalah 3200Pa yang lebih memfokuskan kepada kemampuan membuat kerja-kerja kebersihan hampir pada pelbagai jenis permukaan.

Cara robot ini melakukan kerja pembersihan juga adalah berbeza, iaitu bergerak mengikut bentuk Y, mempunyai sensor yang lebih jitu untuk membuat pemetaan atau arahan bergerak ke sesuatu kawasan yang spesifik. Robot hampagas ini boleh dikawal melalui aplikasi dan pengguna boleh membuat tetapan kawasan larangan agar, mainan-mainan kecil anak tidak disalah anggap sebagai sampah.

Haier TAB ini sedang menjana dana melalui laman biayasama Indiegogo. Haier menyasarkan harga jualan sekitar $599 (~RM1887) untuk set asas. Namun pengguna boleh dapatkan set mewah dengan pelbagai aksesori tambahan pada harga serendah RM2059. Produk ini hanya akan mula dihantar pada bulan Julai kelak.



TIPS & ULASAN