Cari @ Amanz

Facebook kini dilihat berkembang agak rancak dengan lebih 2 billion pengguna yang aktif. Pengguna Facebook merangkumi pelbagai kategori seperti pelajar dan juga pengguna perusahaan besar. Ia menyediakan kemudahan untuk pengguna berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk sama ada teks, grafik, audio dan video. Sekaligus menjadi ruang penting supaya maklumat dapat disampaikan kepada orang ramai.

Apapun matlamat pengguna, hal penting yang perlu diketahui dalam menggunakan Facebook adalah mengenai privasi. Jadi, ia tidak boleh dipandang remeh bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa ancaman siber dan kecurian identiti termasuklah kewangan. Dengan sejumlah usaha tambahan, pengguna boleh melindungi data mereka daripada diakses oleh pihak tidak bertanggungjawab. Berikut adalah beberapa tips praktikal untuk melindungi privasi dalam talian :

1) Lindungi Akaun Peribadi Anda

  • Lindungi kata laluan dan jangan sekali-kali berkongsi dengan orang lain. Elakkan juga menggunakan kata laluan yang sama dalam pelbagai platform. Satu lagi perkara perlu dielakkan adalah penggunaan maklumat pengenalan diri yang mudah dikenali seperti nama, tarikh lahir dan sebagainya.
  • Jangan sesekali berkongsi maklumat log masuk anda. Penjenayah siber mungkin membuat laman web palsu yang kelihatan seperti Facebook dan meminta anda log masuk dengan e-mel dan kata laluan.
  • Elakkan daripada berkongsi maklumat log masuk. Sentiasa periksa URL laman web sebelum anda meneruskan proses log masuk. Selain itu, anda dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak terlupa untuk log keluar apabila menggunakan komputer yang sama dengan orang lain.
  • Berhati – hati terima kenalan di Facebook. Jangan terima permintaan daripada orang yang anda tidak kenal. Jangan mudah terpedaya dengan gambar yang dipaparkan di dalam talian kerana lazimnya penjenayah siber sering membuat akaun palsu.
  • Sentiasa berhati – hati dengan perisian berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada komputer, pelayan atau rangkaian. Selain itu, jangan sesekali klik pautan yang mencurigakan. Anda juga perlu ingat bahawa pihak bahawa Facebook tidak akan pernah meminta kata laluan anda dalam e-mel.
  • Gunakan pilihan keselamatan tambahan daripada Facebook. Anda boleh mendapatkan amaran log masuk yang mencurigakan dengan menetapkan fungsi pengesahan dua faktor. Tetapan ini boleh diakses menerusi tetapan keselamatan. Selain itu, anda juga boleh menapis senarai kenalan anda untuk lebih privasi.

2) Lindungi Halaman Perniagaan Anda

  • Buat pemeriksaan secara berkala mengenai siapa yang mempunyai akses ke halaman perniagaan anda. Menetapkan lebih daripada satu admin juga merupakan salah satu langkah keselamatan yang baik.
  • Sebagai admin, anda perlu kekal aktif di halaman perniagaan bagi memastikan tiada sebarang siaran yang mencurigakan dihantar oleh penjenayah siber.
  • Anda juga disarankan untuk membuat kajian terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang aplikasi pihak ketiga di halaman perniagaan.

Bagaimana Facebook Dapat Membantu ?

  1. Meminta pengguna untuk mengkaji semula tetapan privasi mereka.
  2. Memberi pengguna lebih banyak pilihan kawalan terhadap aktiviti di laman Facebook.
  3. Perkenal makluman untuk log masuk pihak ketiga melalui pemberitahuan.

Sebagai konklusinya, adalah penting untuk anda mengetahui langkah mengatasi ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan maklumat peribadi. Jangan sesekali memandang enteng perkara sebegini, Pastikan semua akaun anda terjaga rapi dengan tetapan keselamatan yang sesuai. Jangan biarkan maklumat anda diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd