Banyak pembangun komponen dan peranti dilihat mengurangkan pengeluaran mereka akibat wabak pandemik COVID-19 yang sedang membelenggu dunia, tetapi AMD nampaknya tekad untuk menentang arus dengan produk terbaru mereka.
Sony dan Microsoft mengumumkan bahawa AMD akan terus menguasakan kedua-dua konsol akan datang mereka, Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, tetapi terdapat beberapa kerisauan mengenai pelancarannya, seperti kekurangan unit yang akan dijual, dan juga tanda harganya yang mahal.
System-on-a-Chip (SoC) AMD untuk konsol-konsol ini terdiri daripada CPU AMD Zen 2 dan cip pemprosesan grafik RDNA2, dan AMD sedang bersiap-sedia untuk meningkatkan pengeluaran SoC tersebut supaya kedua-dua konsol ini dapat dijual dengan banyak.
Berita ini tiba selepas AMD melaporkan bahawa jualan CPU dan kad grafik Ryzen dan Radeon terbaru mereka adalah 80 peratus daripada keuntungan suku pertama $1.47 bilion untuk syarikat tersebut, dan mereka pasti bahawa jualan SoC ini akan meningkatkan lagi keuntungan syarikat.
Buat masa ini, kedua-dua konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X tersebut dilaporkan akan tiba pada musim cuti penghujung tahun ini.