Apple baru sahaja mengemaskini komputer riba kompak berkuasa tinggi mereka, iaitu MacBook Air dengan rekaan dan spesifikasi baru yang menggunakan CPU Intel Comet Lake-U dan juga papan kekunci Magic Keyboard yang sama digunakan didalam MacBook Pro 16-inci.
Selain Macbook Air, kini Apple nampaknya telah mengemaskini komputer riba MacBook Pro 13 mereka dengan pilihan CPU Intel Core i5 generasi kesepuluh, yang kini hadir dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan pilihan storan 512GB ataupun 1TB. Sama seperti MacBook Pro 16 inci dan MacBook Air, papan kekunci MacBook Pro 13 ini juga dilengkapi dengan Magic Keyboard yang baru, disamping empat palam Thunderbolt 3, berbanding dengan dua sahaja pada model MacBook Pro 13 yang lama.
Buat masa ini, Apple Malaysia masih belum menawarkan kemudahan untuk membuat tempahan model ini, selain tiada pilihan untuk menambah ruangan storan dan juga memori.
Walaupun begitu, spesifikasi baru MacBook Pro 13 ini sudahpun tertera di laman web Apple Malaysia, dan model yang dikemaskini ini hadir dengan harga permulaan RM7999 untuk model dengan storan 512GB dan RM8799 untuk model dengan storan 1TB.
Selain kedua-dua model ini, Apple turut menawarkan pilihan dengan cip Intel Core i5 pada harga bermula RM5599 untuk storan 256GB, dan RM6399 untuk storan 512GB. Kedua-duanya turut hadie dengan integrasi Magic Keyboard, selain Touch Bar dengan Touch ID.
Untuk butiran lanjut mengenai kemaskini baru MacBook Pro 13 ini, anda boleh ke laman sesawang Apple Malaysia.