Carian
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong Menentang Covid-19 Dengan Pondok Dan Robot Nyahkuman
May 5, 2020 Fahim Zahar

Wabak koronavirus Covid-19 adalah virus bahaya yang menular di seluruh dunia. Kewujudan virus ini menyebabkan banyak negara termasuk Malaysia memulakan PKP dan penjagaan jarak sosial. Walaupun kes jangkitan dilihat semakin berkurangan, itu tidak bermakna yang virus ini sudah hapus.

Di HKIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong), robot dan pondok disinfeksi berautonomi mula digunakan. Pondok disinfeksi ini adalah dari CLeanTech yang boleh membuat semakan suhu, melakukan prosedur sanitasi dan disinfeksi penuh dalam masa hanya 40 saat. Suasana dalam pondok ini berada dalam tekanan yang negatif sama seperti teknik isolasi yang digunakan oleh hospital dan pusat perubatan dan turut akan menyembur semburan sanitasi. Buat masa ini, pondok ini hanya digunakan oleh para pekerja sahaja dan berada dalam fasa ujian sehingga bulan Mei sahaja. Tidak pasti sama ada ia akan terus digunakan selama-lamanya.

Untuk kemudahan-kemudahan di lapangan terbang ini seperti tempat duduk, pemegang, kiosk semak masuk, kaunter-kaunter, troli-troli dan butang-butang lif akan dilindungi dengan salutan antimikrob yang boleh membunuh virus atau bakteria. Bahan yang digunakan ini menggunakan teknologi photocatalyst dan juga jarum nano agar mampu membasmi kuman, bakteria atau virus yang ditemui pada baju atau badan manusia.

Lapangan terbang ini turut menggunakan robot-robot disinfeksi untuk membuat kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan. Jika fasa ujian ini berjaya, penggunaan pondok dan robot disinfeksi ini mungkin akan diperkenalkan secara lebih meluas.

Komen