Cari @ Amanz

Kereta swapandu tahap 3 yang mendominasi dunia adalah Tesla, seperti Model S atau Model 3. Tiada jenama lain yang mampu bersaing dengan Tesla buat masa ini, kecuali Audi. Audi pernah merancang untuk hadir dengan kereta swapandu tahap 3 berasaskan model A8 mereka. Tetapi, mereka ingin memfokuskan sebagai jenama pertama yang mempunyai kemampuan tahap 3 dengan kawalan stereng tanpa tangan. Nampaknya, peminat Audi harus lupakan hasrat mereka untuk melihat kereta ini menjadi realiti, kerana Audi telah mengalah untuk membangunkan kereta ini.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Audi membatalkan pembangunan kereta swapandu Audi A8 tahap 3 ini. Faktor pertama menurut System Plus adalah kos. 60% daripada kos sistem Traffic Jam Pilot adalah kos untuk semikonduktor. Kedua adalah, Audi menggunakan pelbagai cip pemprosesan pada kereta ini. Nvidia Tegra K1 untuk pengecaman signal trafik, pengecaman pejalan kaki, amaran terlanggar, pengecaman cahaya dan pengecaman lorong. Cip kedua pula adalah untuk pemprosesan imej dari cip Intel/Mobileye EyeQ3, cip Altera Cyclone dan Infineon Aurix Tricore pula adalah untuk kerja-kerja pemprosesan lain.

Masalah perundangan dan penambahbaikan teknologi sedikit demi sedikit turut menjadi faktor lain atas kenapa kereta ini tidak dapat dihasilkan. Jelas di sini ada sebabnya kenapa Tesla menghasilkan kebanyakan komponen secara tersendiri dan boleh berjaya menjual kereta swapandu mereka. Wakil Audi turut katakan yang model A8 ini sudah pun melalui pelbagai perkara dalam kitaran hayat dan tidak akan mempunyai masa yang mencukupi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd