Cari @ Amanz

Kemaskini besar May 2020 untuk sistem operasi Windows 10 akan diperkenalkan pada penghujung bulan ini, dan ia nampaknya akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada ciri-ciri sedia ada yang cukup penting.

Kemaskini terbesar yang akan diperkenalkan semestinya pembantu digital Cortana, dimana ia akan tiba sebagai sebuah aplikasi kendiri, dan boleh dialihkan daripada taskbar sepenuhnya. Microsoft juga telah mengemaskini arahan suara untuk aplikasi-aplikasi Email dan juga Calendar, dimana Cortana boleh digunakan untuk menghantar emel mudah ataupun mencipta dan menyemak temu janji.

Microsoft sebelum ini telah memperkenalkan papan kekunci digital khusus untuk ikon emoji. Papan kekunci tersebut bakal dikemaskini untuk memuatkan kaomoji, ataupun ekspresi menggunakan aksara digital yang dipopularkan oleh pengguna internet di Jepun.

Desktop maya adalah ciri yang diperkenalkan sejak versi pertama Windows 10, tetapi pengguna akhirnya boleh menamakan desktop-desktop tersebut untuk memudahkan pengguna untuk membezakannya.

Dengan kemaskini ini, pengguna juga boleh memilih untuk mengaktifkan aplikasi Universal Windows Platform apabila log masuk kedalam sistem operasi selepas komputer dihidupkan.

Bagi mereka yang sering menyambungkan peranti Bluetooth kepada komputer mereka, Windows 10 kini akan mengeluarkan notifikasi bahawa peranti boleh disambungkan kepada komputer, dan pengguna tidak lagi perlu memasuki menu tetapan Bluetooth untuk menyambungkan peranti.

Untuk mereka yang menggunakan peranti 2-dalam-1, kemaskini May 2020 ini membolehkan anda terus menggunakan peranti dalam mod desktop yang dioptimasikan untuk kegunaan sesentuh apabila bahagian papan kekunci ditanggalkan.

Menurut beberapa laporan, kemaskini ini akan tiba untuk pengguna-pengguna sistem operasi pada penghujung bulan ini, dimana sokongan untuk sistem operasi versi October 2018 akan ditamatkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd