Cari @ Amanz

Pembangunan ubat-ubatan dan anti-vaksin untuk virus Covid-19 sedang dilakukan oleh pelbagai negara. Ia dilakukan serentak bagi menjimatkan masa sekaligus menyelamatkan lebih banyak nyawa dengan jumlah kematian global masih belum menujukan petanda akan surut. Menurut laporan Times of Israel, Kementerian Pertahanan Israel telah mengumumkan penemuan antibodi yang berjaya menentang virus Covid-19 di dalam tubuh pesakit.

Penemuan dilakukan oleh Israel Institute for Biological Research (IIBR) dan kini sedang menjalani proses paten dengan fasa seterusnya adalah penghasilannya secara besar-besaran. Antibodi ini berfungsi secara monoklonal dan didapati dapat meneutralkan virus Covid-19 di dalam tubuh pesakit.

Sejak wabak merebak ke seluruh dunia, Israel menjadi antara negara paling awal menutup pintu masuk ke negara mereka. Setakat ini kematian di Israel sudah melaporkan lebih 16,000 kes positif dengan 235 kematian. Sebanyak 10,064 pesakit sudah berjaya dirawat dan plasma dari tubuh mereka telah dikaji oleh IIBR untuk mencari rawatan pada kadar segera.

IIBR ialah unit penuh rahsia yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri Israel. Ia sering melakukan kajian mengenai wabak, senjata kimia dan senjata biologi bagi memastikan Israel sentiasa bersedia menghadapi sebarang bentuk senjata yang digunakan oleh musuh. Selain itu mereka pernah dilaporkan turut terlibat dalam pembangunan toksin yang digunakan untuk misi membunuh oleh agensi risikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd