Siri Redmi Note 9 telah dilancarkan secara global pada 30 April lalu dan ia hadir dalam penawaran dua model iaitu Redmi Note 9 serta Redmi Note 9 Pro. Kehadiran peranti ini berjaya mencuri perhatian para peminat gajet di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Ekoran itu, Xiaomi Malaysia, hari ini berkongsi berita baik dengan memaklumkan bahawa peranti tersebut bakal tiba secara rasmi di Malaysia pada 11 Mei ini. Difahamkan, acara pelancaran ini akan diadakan secara atas-talian menerusi laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia pada jam 2 petang.
Redmi Note 9 Pro hadir dengan skrin 6.67-inci, dijana cip Snapdragon 720G, memori 6GB RAM dan storan 128GB. Ia turut menggunakan bateri 5020mAh, empat kamera belakang dengan sensor utama 64-megapixel, dan kamera swafoto 16-megapixel.
Redmi Note 9 pula hadir dengan skrin 6.53-inci, dijana cip MediaTek Helio G85, memori 3/4GB RAM, dan storan 128GB. Ia turut menggunakan kapasiti bateri sama, iaitu 5020mAh. Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan empat kamera belakang menggunakan sensor utama 48-megapixel, selain kamera swafoto 13-megapixel.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan 11 Mei 2020 untuk mengetahui lanjut mengenainya. Ia tidak diketahui lagi sama ada Mi Note 10 Lite akan dilancarkan bersama ketika acara berkenaan atau tidak.