Carian
Project Lunark Adalah Pondok Kediaman Untuk Di Bulan Yang Menggunakan Tenaga Solar
May 6, 2020 Fahim Zahar

Pada tahun 2024, NASA akan kembali dengan misi untuk manusia mendarat di bulan. Oleh itu, pelbagai persediaan akan dilakukan bagi memastikan angkasawan yang menjalankan misi ini akan selamat dan selesa apabila berada di sana. Salah satu syarikat yang terlibat adalah SAGA Space Architects, yang mana akan menghasilkan pondok kediaman untuk di bulan nanti.

Pondok kediaman ini dinamakan sebagai Lunark. Ia dibina oleh Sebastian Aristotelis dan Karl-Johan Sørensen iaitu angkasawan analog dengan kerjasama bersama-sama dengan saintis, jurutera dan pakar kutub. Apa yang menarik dengan Lunark ini adalah, ianya direka berasaskan konsep origami. Jadi, pondok ini boleh menjadi kecil untuk kemudahan pengangkutan dan kemudian boleh mengembang kembali 560% dari saiz kecil tadi. Bahan binaannya adalah sejenis panel boleh lipat yang dikelilingi dengan panel solar. Bahannya juga mampu bertahan suhu -40 darjah, boleh bertahan dengan kelajuan angin 90KM atau juga serangan beruang kutub. Apa kaitan bulan dengan kutub?

Lunark akan diuji di kawasan yang bahaya seperti cuaca sejuk yang melampau, angin kencang tanpa henti dan mungkin juga serangan beruang kutub di sekitar Greenland. Sebastian dan Karl sendiri akan mengujinya dan tinggal di dalam Lunark selama 3 bulan. Lunark ini akan menggunakan sistem cahaya dinamik Cicardian, perabot dalaman yang dicetak melalui pencetak 3D, kebun menegak untuk bercucuk tanam, bateri untuk kuasa, tangki air, dan juga ruangan storan, akhir sekali adalah sistem sokongan hidup berasaskan alga. Pondok ini mempunyai jisim yang mencukupi untuk dua orang dewasa membuat kerja, tidur dan tinggal.

Buat masa ini, Project Lunark masih lagi dalam kajian dan penyelidikan. Ia hanya akan mula dibina pada sekitar bulan Julai atau Ogos dan ujian pada September atau November. Bergantung kepada hasil keputusan, ia mungkin akan menjadi realiti untuk manusia berdiam di bulan suatu hari nanti.

Komen