Cari @ Amanz

PKPB berkuatkuasa sejak Isnin lalu dan pada hari pertama lagi kita dapat melihat imej tular barisan panjang di kedai pajak, restoran dan pusat membeli belah yang tidak mematuhi arahan pembatasan sosial kerajaan.  Jarak 1 meter antara individu langsung tidak wujud dan lebih menyedihkan melihat warga emas beratur di bawah terik mentari. Apakah penyelesaian kepada masalah ini?

Safe Queue ialah aplikasi yang membenarkan pelanggan beratur dengan selamat dan selesa kerana tidak perlu melakukannya secara fizikal. Aplikasi mengesan kedudukan GPS kedai dalam lingkungan 1000 kaki dari peranti. Pengguna hanya perlu memilih kedai yang ingin mereka lawati dan mengambil nombor giliran. Mereka kemudian boleh bebas menunggu di dalam kereta atau di kawasan lebih selesa. Terdapat juga jam yang memberikan anggaran berapa lama mereka perlu menanti.

Sekiranya pengguna bergerak keluar dari lingkungan 1000 kaki, angka giliran mereka akan dibatalkan secara automatik. Apabila giliran semakin hampir, notifikasi akan dihantar kepada peranti sebagai persediaan untuk mula membeli belah.

Aplikasi Safe Queue ini masih belum ditawarkan di mana-mana stor aplikasi tetapi sedang menerima bantuan dari IBM untuk mempercepatkan proses kelulusan. Pembangunnya Dave Chura turut mahu menawarkannya secara percuma bagi menyelesaikan masalah utama dunia norma baharu Covid-19. Mungkin ada pembangun tempatan ingin membangunkan aplikasi yang serupa untuk kegunaan di Malaysia?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd