Cari @ Amanz

Siri komputer riba 2-dalam-1 Microsoft Surface Book merupakan eksperimen Microsoft yang berjaya didalam menggabungkan komponen-komponen berkuasa didalam sebuah rangka yang unik dan menarik.

Hari ini, Microsoft mengumumkan ketibaan model ketiga Surface Book ini, yang dinamakan Microsoft Surface Book 3. Sama seperti model-model sebelum ini, Surface Book 3 hadir dengan dua bahagian yang boleh dicantum dan dipisahkan, iaitu bahagian paparan dan juga papan kekunci.

Surface Book 3 hadir dengan dua pilihan paparan, iaitu 13.5 inci dan juga 15 inci yang merumahkan pilihan CPU Intel generasi kesepuluh Ice Lake, iaitu Intel Core i5-1035G7 untuk model 13.5 inci, dan Intel Core i7-1065G7 untuk kedua-dua model 13.5 dan 15 inci.

Dalam pada itu, bahagian dermaga papan kekunci komputer 2-dalam-1 ini merumahkan komponen GPU, dimana model 13.5 inci diberi pilihan untuk menggunakan cip grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 Max-Q. Model 15 inci pula boleh dilengkapi dengan NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti Max-Q ataupun NVIDIA GeForce Quadro 3000.

Bahagian papan kekunci tersebut turut merumahkan bateri tambahan dimana Microsoft mengatakan dengan pengecasan penuh, Surface Book 3 ini boleh bertahan selama 17.5 jam untuk tujuan produktiviti tanpa masalah.

Pra-tempah untuk Microsoft Surface Book 3 ini hanya dibuka untuk rantau Amerika buat masa ini pada harga $1600 untuk model 13.5 inci dan $2300 untuk model 15 inci.

Carian ringkas menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya dua model Surface Book 3 ini sudahpun memasuki pangkalan data SIRIM untuk jualan pasaran tempatan, jadi kita mungkin tidak perlu menunggu lama untuk melihat sendiri peranti ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd