LG Velvet Kini Rasmi Dengan Sokongan Stylus Wacom Dan Mod Video ASMR
LG

LG Velvet Kini Rasmi Dengan Sokongan Stylus Wacom Dan Mod Video ASMR

Diterbitkan pada Mei 7, 2020 oleh .

Telefon pintar LG Velvet telah dilancarkan secara rasmi hari ini dan sebagai kejutan ia disahkan mempunyai sokongan stylus Wacom secara terbina. Ini meletakkan LG Velvet di dalam kelas yang sama seperti Samsung Galaxy Note kerana stylus yang disertakan ini turut mempunyai kemampuan mengesan 4096 tahap tekanan. Ia bagaimanapun adalah aksesori tambahan tanpa tempat simpanan khas pada tubuh.

LG VelvetSpesifikasi penuh peranti ialah skrin 6.8″ POLED FHD+, dijana cip Snapdragon 765G, memori 8GB RAM, storan 128GB UFS 2.1, kamera utama 48+8+5 MP, kamera swafoto 16MP dan bateri sebesar 4300 mAh.

Sistem kamera utama menyokong lensa sudut lebar, sudut ultra lebar dan pengesan kedalaman sahaja. Tiada sokongan zum optikal diberikan. Peranti turut menyokong pengecasan nirwayar serta mempunyai kemampuan kalis air IP68 dan melepas standard ketahanan ketenteraan MIL-STD 810G.

Tidak berakhir disitu, ia juga masih dilengkapi bicu audio 3.5mm. Seperti LG V60 ThinQ sebelum ini, aksesori skrin sekunder turut disertakan kepada pembeli. Seperti majoriti peranti pintar Android di pasaran, sebuah pengimbas cap jari diletakkan di bawah skrin. Dua fungsi menarik kamera ialah mod rakaman suara ASMR serta sistem penstabilan video Steadycam. Di Korea Selatan LG Velvet dijual pada harga KRW 899,800 (~RM3179).



TIPS & ULASAN