Sejak setahun kebelakangan ini Sonos agresif dalam memasarkan produk audio premium mereka. Jika dahulu hanya speaker audio biasa dijual, kini mereka mula memberikan sokongan pembantu maya seperti Alexa dan kemampuan mengesan arahan suara. Terkini Sonos Arc telah dilancarkan dan ia mempunyai sokongan audio Dolby Atmos.
Arc adalah pembesar suara dari jenis soundbar yang direka untuk digunakan sebagai sistem audio televisyen di rumah. Terdapat 11 pemandu audio kesemuanya – 8 woofer dan 3 tweeter di dalam unit sepanjang 45 inci ini. Sebuah mikrofon lapangan-jauh turut diberikan untuk mendengar ayat seruan pembantu maya Alexa ataupun Google Assistant. Bagi pengguna ekosistem Apple, sokongan AirPlay 2 turut diberikan.
Perisian Trueplay dari Sonos akan menala kemampuan audio Arc secara automatik mengikut saiz bilik ia diletakkan. Arc dihasilkan untuk menggantikan Playbar yang dipasarkan sejak 2013. Sebuah Sonos Arc ditawarkan pada harga $733 (~RM3454).