Tahun ini ialah tahun yang menarik bagi penggemar sistem audio TWS. Aksesori audio yang dulunya jarang dipasarkan kini muncul seperti cendawan selepas hujan. Pasaran TWS semakin hangat dengan pelancaran Sony WF-SP800N yang hadir dengan tri-sakti ciri menarik iaitu kalis air, dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif ANC dan bateri tahan lama.
Ia melepasi piawaian IP55 yang membolehkannya digunakan untuk aktiviti bersenam sehingga banyak berpeluh. Sekiranya sistem ANC diaktifkan WF-SP800N boleh beroperasi selama 9 jam berterusan atau 19 jam dengan pod pengecas. Ia meningkat ke 13/26 jam jika ANC tidak digunakan.
Satu kekurangan fon telinga ini ialah ia tidak mempunyai sokongan pengecasan nirwayar. Namun begitu pengecasan selama hanya 10 minit boleh memberikan waktu penggunaan sehingga sejam.
Terdapat kawalan sesentuh pada kedua-dua fon telinga. Ini boleh digunakan untuk menyeru pembantu maya atau melaras audio. Jika jari diletakkan berterusan pada pad sesentuh, mod transparensi diaktifkan bagi membolehkan pemakai mendengar audio sekeliling. Menerusi perisian khas, kekuatan sistem ANC boleh diubah secara automatik menurut kelantangan. Sony WF-SP800N ditawarkan pada harga $200(~RM860) dalam warna ranggi hitam, putih, biru dan oren.