Cari @ Amanz

Setelah melancarkan dua siri cip pemprosesan untuk komputer riba, AMD bakal memasuki pasaran komputer riba untuk syarikat-syarikat perusahaan yang menangani data yang sulit ataupun penting dan memerlukan ciri-ciri keselamatan tambahan.

Siri cip pemprosesan tersebut dinamakan AMD Ryzen Pro 4000, dan terdiri daripada AMD Ryzen Pro 7 4750U (8 teras, 16 bebenang kuasa), AMD Ryzen Pro 5 4650U (6 teras, 12 bebenang kuasa) dan AMD Ryzen 3 4450U (4 teras, 8 bebenang kuasa).

Selain daripada penambahan bilangan teras berbanding dengan model cip pemprosesan yang dilancarkan pada tahun lepas, prestasi komponen-komponen ini juga dilihat lebih baik, dan kesemua cip-cip ini mempunyai TDP serendah 15W yang membolehkannya hadir dengan jangkahayat bateri selama 20 jam.

Perbezaan utama siri cip pemprosesan Ryzen Pro 4000 berbanding dengan Ryzen 4000 biasa ialah ciri keselamatan tambahan yang dimuatkan didalamnya, seperti AMD Memory Guard yang memastikan data anda sentiasa selamat walaupun komputer riba anda dicuri, dan juga sokongan untuk Microsoft Endpoint Manager yang memudahkan bahagian IT anda untuk mengurus sebarang isu pada komputer riba anda.

Buat masa ini, AMD mengatakan bahawa terdapat dua jenama komputer riba yang akan memperlihatkan model-model yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Pro 4000 ini, seperti HP dan juga Lenovo.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd