DXOMark merupakan salah satu organisasi yang sering hadir dengan markah penanda aras untuk rakaman gambar. Terbaru, mereka telah pun mengeluarkan skor untuk rakaman gambar swafoto menggunakan iPhone 11.
Daripada skor yang dikeluarkan, iPhone 11 mencatatkan skor sebanyak 91 – sekaligus meletakkan ia dibelakang pelbagai telefon pintar Android lain. Ia tidak memasuki senarai 10 teratas, dan diposisikan dibelakang Samsung Galaxy Note 9 yang dilancarkan dua tahun lepas.
Apple iPhone 11 hadir dengan sensor 12-megapixel untuk rakaman swafoto, termasuk dilengkapi dengan sejumlah ciri menarik, termasuk rakaman video 4K menggunakannya.
Daripada rakaman gambar yang hadir, dXO mengatakan ia menawarkan pewarnaan yang cantik pada keadaan cahaya cerah, selain kesan yang baik ketika rakaman menggunakan cahaya Flash. Namun, terdapat kesan hingar pada pelbagai keadaan, selain kesan blur yang tidak sekata pada mod bokeh.
Untuk rakaman gambar pula, ia dikatakan menawarkan kesan penstabilan efektif yang memadai, pewarnaan yang baik pada rakaman luar. Namun, seperti rakaman gambar, rakaman video juga turut membawakan kesan hingar pada pelbagai keadaan, selain kehilangan beberapa kesan ketika rakaman pada cahaya malap.
Seperti biasa, ini adalah hasil berdasarkan kepada rakaman dan melihat gambar berkenaan terus pada peranti dan bukannya pada perkongsian media sosial – yang mana selalunya lebih baik kerana pengoptimasian aplikasi untuk iOS yang lebih baik berbanding Android kerana lambakkan peranti. Ujian pihak DXO sering menimbulkan kontroversi ramai – apatah lagi, kualiti rakaman mungkin berbeza mengikut pandangan orang berbeza.