“Trackpad” atau “Magic Trackpad” adalah pad sesentuh dari Apple. Ia hadir terbina pada semua MacBook atau turut dijual secara berasingan sebagai aksesori tambahan untuk kawalan tambahan atau kawalan alternatif dari menggunakan tetikus. Umum sedia maklum, kawalan gestur pad sesentuh Apple ini adalah antara yang terbaik dengan sokongan kawalan gestur yang amat memudahkan.
Terkini, Apple telah dianugerahkan satu paten “Magic Trackpad” baharu, yang akan berfungsi sebagai pad pengecasan nirwayar. Bukan itu sahaja, ia turut akan mengesan input dari Apple Pencil – secara tidak langsung menjadikan ia sebagai pad lukisan seakan Wacom. Menurut sumber, pad pengecasan nirwayar ini bukan terhad untuk iPhone tetapi turut untuk Apple Watch dan Magic Mouse (generasi baharu).
Lebih menarik, “Magic Trackpad” ini adalah satu aksesori modular bermagnet yang boleh disambungkan pada Magic Keyboard atau digunakan secara bersebelahan dengan MacBook. Sokongan mengesan input Apple Pencil ini akan memudahkan lagi pengguna profesional, yang sebelum terhad menggunakan iPad sahaja.
Seperti biasa, paten hanyalah satu rekaan atau idea sahaja. Tidak pasti lagi sama ada Apple akan menjadikannya realiti ataupun tidak. Sama-sama kita saksikan nanti.