Carian
Pandang Pertama Oppo A92 – Anggun & Menawan
May 12, 2020 Fahim Zahar

Awal bulan ini, Oppo telah melancarkan peranti kelas pertengahan baharu mereka Oppo A92. Ia bukannya pengganti kepada Oppo A91 yang dilancarkan  bulan Mac lepas, sebaliknya adalah pilihan alternatif lain jika pengguna inginkan sesuatu yang lebih berkuasa. Oppo A91 dijana dengan cip MediaTek Helio P70 dan Oppo A92 adalah dijana dengan Snapdragon 665. Pasti ramai pengguna yang mengikuti Amanz akan memilih peranti Snapdragon berbanding MediaTek. Harga jualan pun adalah sedikit lebih mahal.

Untuk siapakah Oppo A92 ini? Adakah ia cukup berkuasa dan berbaloi untuk dibeli. Ini adalah artikel pandang pertama kami, yang mana akan kami huraikan pendapat ringkas mengenai apa yang Oppo tawarkan pada peranti yang dijual pada harga RM1199 ini.

Spesifikasi

Pertama sekali kita lihat terlebih dahulu spesifikasi penuh peranti ini. Ia menggunakan skrin 6.5-inci IPS LCD dengan resolusi FHD+ melalui rekaan skrin berlubang. Dijana dengan cip Snapdragon 665 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Sistem kamera belakang adalah kuad-kamera dari lensa 48MP + 8MP + 2MP + 2MP dan kamera swafoto 16MP. Sistem kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan monokrom yang disusun dalam bentuk huruf L. Kapasiti bateri adalah 5000mAh yang menyokong pengecesan pantas 18W melalui port USB-C, menjalankan sistem operasi ColorOS 7.1 berasaskan Android 10, masih mengekalkan port bisu audio 3.5mm dan mempunyai sistem sekuriti pengimbas cap jari fizikal di sisi atau menggunakan kamera swafoto untuk nyahkunci berasaskan wajah.

Pengalaman Penggunaan

Ujian pertama yang kami lakukan adalah pengalaman penggunaan skrin. Walaupun hanya LCD sahaja, ia mempunyai warna yang cukup hidup, butiran yang jitu dan memuaskan. Tiada sokongan HDR, tetapi nilai dynamic range pada kandungan video YouTube adalah memuaskan. Terdapat juga sokongan memainkan video pada kadar 60 FPS yang mana adalah agak mengejutkan bagi peranti dalam kelas ini. Secara keseluruhan, skrin peranti ini adalah menarik. Kecerahan adalah kurang baik di bawah cahaya matahari yang terik, kerana paparan skrin terus malap dan sukar untuk dilihat. Lubang kamera swafoto dan dagu yang tebal sedikit mengganggu kerana lensa kamera tidak begitu gelap dan jelas kelihatan dan dagu tebal adalah rekaan tahun lepas.

Menjadikan pengalaman penggunaan skrin ini lebih mengasyikkan adalah ia dipadankan dengan pembesar suara stereo yang cukup lantang. Hasil audio adalah kuat pada aras suara 100% dan tidak begitu bingit. Bergantung kepada kandungan yang ditonton. Untuk pendengaran muzik pula, ia adalah lebih kurang sama dan konsisten sahaja. Kurang bass, lebih kepada profil audio yang flat. Walaupun bukan pembesar suara stereo yang terbaik, ia adalah satu ciri yang amat kami bersyukur Oppo sertakan untuk peranti kelas ini. Jika pembesar suara ini tidak memuaskan, gunakan sahaja mana-mana set fon telinga kegemaran yang padan dengan jiwa. Kerana, port bicu audio masih dikekalkan pada peranti ini.

Beralih kepada prestasi. Peranti ini dijana dengan cip yang dilancarkan pada April tahun lepas. Jadi, ia masih mempunyai potensi untuk beroperasi dengan keadaan yang baik dan memuaskan. Tambahan dipadankan dengan RAM 8GB, ia akan menepati cita rasa pelbagai orang. Ujian ringkas yang kami lakukan adalah membuka banyak aplikasi serentak dan cuba bertukar-tukar antara satu sama lain dan juga membuka dan menutup sesuatu aplikasi. Pada awalnya, ia beroperasi dengan baik dan sangat lancar. Hanya selepas sekitar 30 minit penggunaan, lengah masa mula berlaku dan menjadikan sistem amat perlahan. Walau bagaimanapun, ianya tidak  menjadikan peranti ini terus tergendala. Cuma pengalaman penggunaan adalah kurang memuaskan.

Skor tanda aras melalui ujian AnTuTu adalah 183647, yang mana bersaing dengan peranti seperti Samsung Galaxy A51, Honor 9X, dan Mi 8 Lite – berdasarkan kedudukan dalam carta aplikasi AnTuTu. Skor Geekbench 5 pula adalah 310 untuk satu teras dan 1383 untuk multi-teras. Agak rendah, tetapi skor hanyalah nombor semata-mata – pengalaman penggunaan sebenar adalah tanda aras sebenar yang patut anda alami sendiri.

Jika anda sedang membaca artikel ini sehingga ke perenggan ini, anda pasti sudah perasan yang spesifikasi peranti kelihatan mirip dengan peranti Oppo lain. Ya, Oppo A92 adalah sebuah Oppo A72 untuk pasaran global.

Antaramuka

Sekali lagi, Oppo memfokuskan kepada pengalaman penggunaan yang baik untuk peranti kelas pertengahan. Peranti ini menjalankan sistem operasi ColorOS 7.1 yang turut digunakan pada peranti mercu mereka Oppo Find X2. Ia berasaskan Android 10 dan kekal memuat pelbagai ciri menarik. Berikut adalah antara ciri menarik yang terbina pada versi ColorOS ini;

Assistive Ball: Bebola terapung dengan akses pantas kepada pelbagai tetapan atau aplikasi.

Clean Storage: Fungsi membuang cache, fail-fail besar, APK atau fail yang tidak lagi patut disimpan bagi memberi storan tambahan.

Dark Mode: Walaupun LCD, mod gelap dikekalkan bagi keselasaan mata pengguna.

Game Space: Mod permua yang mengurangkan penggunaan RAM pada keseluruhan sistem dan fokus pada permua, kawalan notifikasi dan juga ciri tambahan menjadikan pengalaman bermain permua lebih baik.

HeyTap Cloud: Perkhidmatan storan awan tersendiri Oppo, bagi mereka yang ingin menggunakan storan awan alternatif selain One Drive atau Google Drive.

Modes: Mod standard, focus dan driving boleh dipilih untuk menjadikan penggunaan peranti lebih efisien mengikut situasi berbeza.

Oppo Share: Fungsi pemindahan atau perkongsian fail antara peranti Oppo lain seakan Apple AirDrop.

Real Original Sound Technology: Mod audio yang boleh mengoptimasikan pembesar suara secara pintar atau pilihan manual, seperti filem, muzik dan lain-lain.

Smart Services: Beberapa perkhidmatan pintar tambahan Oppo, seperti mod menunggang motosikal, mod memandu, atau Smart Assistant iaitu hab yang memaparkan akses pantas aplikasi kegemaran.

Smart Sidebar: Seakan Samsung Edge Screen, iaitu bar khas yang boleh ditatal dari sisi skrin untuk memaparkan pintasan kepada pelbagai tetapan atau aplikasi. Alternatif kepada Assistive Ball.

Kamera

Ujian awal kamera memperlihatkan keputusan yang memberangsangkan. Oppo A92 menggunakan tetapan kuad-kamera dari lensa 48MP (lensa utama) + 8MP (lensa sudut ultra lebar) + 2MP (lensa makro) + 2MP (lensa monokrom) yang disusun dalam bentuk huruf L. Untuk kamera swafoto pula, lensa 16MP digunakan. Ujian swafoto untuk mod auto dan mod potret adalah baik sekali. Butiran dilihat ada, tetapi telah dilembutkan melalui pasca-proses standard Oppo – iaitu mod kecantikan yang kekal digunakan walaupun sudah dimatikan. Wajah menjadi lembut, sedikit berkilat tetapi masih mempunyai butiran yang dekat dengan dunia nyata. Mod potret swafoto adalah tidak konsisten dan kerap terdedah kepada cahaya.

Penggunaan lensa sudut ultra lebar dan menggunakan mod zum dilihat memuaskan bagi peranti dalam kelas ini. Cuma, butiran jika kita zum lebih dekat sudha hilang dan penuh dengan hingar. Walau bagaimanapun, penggunaan warna adalah bagus sekali dengan mengekalkan warna yang hidup dan mempunyai nilai HDR yang baik. Hasil zum adalah mengecewakan jika menggunakan cahaya LED dan hanya kelihatan kemas dan memuaskan jika sumber cahaya adalah matahari.

Kamera utama mod auto dan mod potret sunggun mengagumkan. Kami agak tekejut dengan kemampuan peranti ini. Lihat sampel di bawah, mod potret mempunyai kesan bokeh yang semula jadi dengan kesan kabur yang kemas. Tetapi seperti kamera swafoto, kesan kaburnya tidak konsisten dan hanya kadangkala sahaja ia berfungsi dengan baik. Pendedahan kepda cahaya juga tidak terkawal jika anda lihat pada sampel pertama di bawah ini, latar belakang terus menjadi putih dan butiran tidak dipelihara.

Ujian zum lain secara rawak, kadangkala turut memperlihatkan hasil yang hebat. Gambar langit di bawah ini walaupun jelas kelihatan hingar, tetapi warnanya dipelihara dengan baik sekali. Tona warna biru gelap ke biru cair dan ke warna putih menjadikan hasil gambar ini cantik dan sesuai dijadikan gambar latar belakang pada peranti.

Rekaan

Oppo A92 menggunakan rekaan yang moden, seperti penggunaan skrin berlubang dan juga modul kamera segi empat. Peranti ini ditangan terasa sangat selesa, ringan dan tidak licin. Panel belakang jelas sekali Oppo cuba mimik kemasan kaca. Tetapi jelas terasa plastik. Penggunaan untuk Shining White ini sungguh anggun dan menawan. Kelihatan seakan langit, sedikit pelangi atau juga gula-gula. Apa yang mengecewakan dengan rekaan hadapan peranti ini adalah dagu yang tebal. Dari atas sehingga ke sisi sudah kelihatan konsisten seakan iPhone XR, tetapi dagunya menjadikan rekaan peranti ini ketinggalan zaman.

Peranti ini masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm, yang mana adalah satu ciri yang menarik untuk peranti pada tahun 2020. Di bawahnya adalah kekisi pembesar suara dan juga port USB-C. Di bahagian atas adalah kosong sahaja, tetapi di sisi kanan terdapat slot kad SIM dan butang aras suara. Akhir sekali di sisi kiri adalah butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari.

Konklusi

Oppo A92 adalah sebuah peranti kelas pertengahan memfokuskan gaya hidup. Mempunyai kamera yang baik, prestasi yang setaraf dalam kelasnya, dan rekaan yang cantik lagi moden. Peranti ini dijual pada harga RM1199, yang mana pada kami sedikit mahal untuk kualiti binaan seperti ini. Harganya mungkin boleh direndahkan lagi atau sepatutnya Oppo menggunakan panel kaca.

Peranti ini adalah untuk mereka yang ingin menggunakan secara bersahaja. Inginkan rekaan moden? Kamera yang cukup baik? Prestasi yang ok? Ciri dan fungsi perisian yang menarik? Oppo A92 ini lengkap segalanya.

Komen