Cari @ Amanz

Aplikasi Google Lens semakin relevan untuk digunakan pada zaman kini. Ia membantu anda mendapatkan perincian maklumat mengenai foto & objek sekitar anda dengan hasil carian gambar. Kini, aplikasi ini menerima kemas kini baru bagi menjadikannya lebih produktif untuk semua.

Kemaskini terbaru ini membolehkan pengguna mengimbas teks tulisan tangan, memilih mana-mana teks dan menampalnya di komputer secara terus tanpa memerlukan transkrip manual. Fungsi ini sangat berguna untuk anda memindahkan nota tulisan tangan dengan cepat. Bagaimanapun, ia hanya berfungsi sekiranya tulisan tangan anda cukup kemas.

Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi Google Lens dan pastikan pastikan akaun Google telah sedia dilog masuk pada komputer serta peranti pintar. Pengguna juga perlu mempunyai Google Chrome versi terbaru. Seterusnya, Google Lens kini memiliki fungsi pembacaan yang dipertingkatkan. Melaluinya, pengguna dapat mendengar cara bacaan yang betul dengan kualiti bunyi yang kuat.

Tidak ketinggalan, ciri carian dalam talian juga kini diperkenalkan pada aplikasi ini. Melaluinya, pengguna dapat mencari pelbagai maklumat dengan hanya mengimbas teks, perkataan atau kata kunci yang tidak difahami. Fungsi ini telahpun tersedia dan pengguna boleh mencuba ciri-ciri ini di aplikasi Google Lens.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd