Wabak Covid-19 memberikan kesan terhadap pelbagai perniagaan, termasuk syarikat pemula (startup) teknologi – sekaligus membuatkan pembangunan dan perkembangan syarikat terbantut. Selari dengannya, kini kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan peruntukkan sebanyak RM100 juta.
Dana ini akan digunakan dalam usaha membantu startup yang terjejas disebabkan oleh krisis wabak Covid-19.
Dana ini akan diuruskan oleh MDV (Malaysia Debt Ventures), dimana bantuan kewangan sehingga RM2.5 juta akan diberikan untuk startup yang terjejas. Ini sekaligus akan membantu sekitar sehingga 80 startup tempatan. Permohonan dana ini daripada MDV dijangka akan lebih dipermudahkan berbanding dengan bantuan kewangan biasa.
Sebelum ini, melalui bancian yang telah dijalankan oleh Magic pada penghujung Mac 2020 lepas, ia memperlihatkan sekitar 40% startup akan mati sekiranya pandemik Covid-19 ini berlanjutan sehingga Raya pada penghujung bulan ini.
Selain bantuan ini, kerajaan melalui Cradle turut akan menawarkan pembiayaan geran baru berjumlah RM26.5 juta bermula penghujung Mei 2020 ini yang membantu membiayai syarikat pemula.