Apple telah dilaporkan akan melancarkan fon kepala nirwayar pertama mereka tahun ini selepas bertahun bergantung di bawah jenama Beats. Ia dipercayai akan dilengkapi sistem pembatalan hingar dan pad sesentuh pada bahagian sisi. Menerusi ciapan terkini peniris Jon Prosser, fon kepala ini akan menggunakan nama AirPods Studio.
Penggunaan nama AirPods ini adalah bagi memudahkan penyeragaman produk audio nirwayar Apple. Ia juga selagi dengan penamaan produk fon kepala Beats. Jika nama ini benar-benar digunakan, ia satu lagi petanda bahawa jenama Beats mungkin akan dihentikan oleh Apple dalam masa terdekat. Ura-ura menjadi semakin kuat apabila presiden Beats Audio menarik diri dari syarikat dan digantikan pula oleh ketua Apple Music akhir bulan lalu.
Selain fon kepala, AirPods Pro Lite juga dipercayai akan dilancarkan ketika acara WWDC 22 Jun hadapan. Setelah sekian lama bergantung kepada jenama Beats, Apple kini mungkin telah bersedia untuk melancarkan produk audio mereka sendiri. Walaupun masih lagi baharu di dalam arena ini, AirPods dengan pantas menjadi fon telinga nirwayar pilihan artis, atlet dan pemangkin media sosial walaupun pada awalnya menjadi bahan ketawa kerana rekaannya yang dianggap aneh.