Carian
Kadar Segar Semula Tinggi : Satu Keperluan Atau Kemahuan Yang Perlu Dipenuhi?
May 12, 2020 Amy Maizuraa

Perasan atau tidak, pelbagai pengeluar kini berlumba – lumba menghasilkan produk lebih baik dengan ciri canggih pada barisan peranti pintar keluaran masing-masing. Salah satu daripadanya adalah paparan baik dengan sokongan kadar segar semula yang tinggi. Kita juga harus perasan bahawa terdapat beberapa varian kadar segar semula pada peranti pintar seperti 60Hz, 90Hz, 120 Hz dan bahkan 144Hz. Bagaimanapun, bilangan peranti dengan kadar segar semula 144Hz masih agak terhad seperti Nubia Red Magic 5G, Nubia Play dan Vivo iQOO Neo 3 5G.

Perkara ini agak menarik untuk dibincangkan kerana mungkin ada di antara kita yang masih belum pasti mengenai apa yang dimaksudkan dengan kadar segar semula yang tinggi. Apakah perbezaan di antaranya Apakah kepentingannya? Adakah ia sama dengan kadar tindak balas sentuhan? Namun persoalan utama, adakah ia satu keperluan? Atau hanya kemahuan yang perlu dipenuhi? Pada artikel kali ini, penulis akan merungkai persoalan ini.

Apabila bercakap mengenai sokongan kadar segar semula yang tinggi. Apa yang ada dalam fikiran? Secara amnya, mungkin anda akan menjawab pengalaman tatalan yang lebih lancar dan paparan serta animasi lebih memuaskan. Ya, anda betul. Untuk makluman semua, paparan pada mana – mana peranti akan sentiasa disegar semula untuk kemas kini skrin dengan kandungan terbaik.

Sokongan kadar segar semula bermaksud frekuensi paparan disegarkan dalam tempoh sesaat. Dalam erti kata mudah, berapa kerap paparan peranti anda akan dikemaskini dalam sesaat. Sebagai contoh, paparan 60Hz akan menyegarkan kandungannya 60 kali sesaat, paparan 90Hz menyegarkan kandungannya 90 kali sesaat dan skrin 120Hz pula menyegarkan kandungannya 120 kali sesaat. Secara hipotesis, semakin tinggi kadar segar semula pada paparan semakin baik kualiti kandungan dan pergerakan antara bingkai kelihatan lebih lancar.

Hal ini kerana kadar segar semula yang lebih tinggi bermaksud paparan akan lebih pantas. Sekaligus, meningkatkan kelancaran pergerakan grafik yang muncul pada skrin. Sebenarnya, memang agak sukar untuk menyedari perbezaan antara varian kadar segar semula dengan mata kasar terutamanya antara panel 60Hz dan 90Hz. Anda masih dapat merasakan perbezaannya namun untuk tugasan harian agak sukar untuk menemui perbezaan yang signifikan antara keduanya.

Pada asasnya, paparan 60Hz adalah standard untuk kebanyakan peranti mudah alih dan cukup untuk penggunaan seharian. Tetapi apabila anda beralih ke paparan dengan kadar segar semula lebih tinggi seperti 90Hz atau 120Hz, pengalaman penggunaan akan terasa berbeza. Dibandingkan dengan paparan standard 60Hz, panel 90Hz akan terasa lebih lancar ketika anda menatal pada antaramuka, melayari web ataupun melancarkan sebarang aplikasi rangkaian sosial tanpa isu lengah masa.

Begitu juga dengan paparan 120Hz yang mana ia disegarkan dua kali lebih cepat berbanding panel 60Hz. Sekaligus menjadikan kandungannya kelihatan lebih lancar dan responsif hasil daripada kadar penyegaran yang lebih tinggi. Pada masa sama, ia juga mempunyai tahap kabur gerakan yang minima dengan kualiti gambar lebih tajam.

Walau bagaimanapun timbul lagi persoalan, bagaimana pula dengan kadar tindak balas sentuhan? Atau juga disebut sebagai kadar penyegaran sentuhan? Adakah ianya adalah sama?

Anda mungkin sering melihat atau mendengar mengenai istilah ini dalam penawaran spesifikasi sesebuah peranti pintar. Sebagai contoh, OnePlus 8 Pro yang mana didatangkan dengan kadar tindak balas sentuhan 240Hz. Penting untuk difahami, kedua – dua istilah adalah berbeza meskipun unit pengukurannya adalah sama. Kadar tindak balas sentuhan adalah frekuensi skrin dapat merasakan input sentuhan dalam beberapa saat. Dalam erti kata mudah, kebolehan skrin mengesan sebarang tindak balas dan gerak isyarat pergerakan pada paparan.

Berbalik pada persoalan utama tadi, adakah ia satu keperluan atau hanya kemahuan yang perlu dipenuhi? Jawapannya bergantung kepada pengguna sendiri. Akan tetapi, anda tidak perlu terburu-buru untuk menaik taraf peranti. Jika anda seorang pengguna yang gemar bermain permainan mudah alih serta menginginkan kepuasan peranti yang lancar, paparan dengan kadar segar semula yang tinggi adalah pilihan terbaik. Sekiranya tidak, peranti dengan panel 60Hz cukup memadai untuk penggunaan seharian. Dalam pada itu, terdapat juga sejumlah faktor lain yang mungkin harus dipertimbangkan seperti resolusi, kontras dan sebagainya. Jadi, tepuk dada, tanya selera okay?

Komen