Carian
Huawei P30 Pro New Edition Dilancarkan – Hadir Bersama Sokongan Aplikasi Dan Perkhidmatan Google
May 12, 2020 Aman

Huawei P30 Pro merupakan salah satu telefon pintar menarik yang berjaya mencuri perhatian ramai pada 2019 yang lepas, bukan sahaja menawarkan spesifikasi yang menarik, tetapi juga penawaran rakaman gambar yang cantik. Pada tahun 2020 ini, masih ramai yang masih mendapatkannya lagi.

Menariknya, kini Huawei telah pun melancarkan kemaskini untuk model berkenaan melalui apa yang dinamakan Huawei P30 Pro New Edition.

Buat masa ini, ia hanya dilancarkan di Jerman sahaja, tetapi dijangka ditawarkan di beberapa negara lain dalam masa terdekat.

Huawei P30 Pro New Edition hadir dengan spesifikasi sama seperti Huawei P30 Pro sebelum ini, tetapi menyertakan storan 256GB, dan memori 8GB RAM. Spesifikasi lain masih sama seperti penggunaan skrin 6.47-inci OLED, cip Kirin 980, bateri 4200mAh, dan penggunaan empat kamera belakang.

Memandangkan ia merupakan penaik-tarafan kecil berbanding model tahun lepas, maka pelesenan Google masih tertakluk untuknya. Ini sekaligus membolehkan peranti ini dipasarkan dengan sokongan aplikasi Google Play Store – salah satu perkara yang menjadi sebab utama dalam pengguna mendapatkan telefon pintar pada hari ini.

Selain daripada penaik-tarafan ruangan storan, Huawei P30 Pro New Edition turut hadir dengan beberapa pilihan warna baru seumpama pada Huawei P40 sebelum ini. telefon pintar ini turut menjalankan EMUI 10.1 berasaskan Android 10 padanya.

Bagi anda sendiri, sekiranya telefon pintar ini dipasarkan di Malaysia, adakah anda akan mendapatkannya?

Komen