Desas-desus mengenai Vivo IQOO Z1 sudah kedengaran. Kini, ia terus menjadi perbualan hangat apabila dikatakan bakal menjadi peranti pertama yang dikuasakan oleh pemproses MediaTek Dimensity 1000+ yang baru sahaja dilancarkan pada 7 Mei lalu. Pemproses MediaTek Dimensity 1000+ dikatakan hadir dengan beberapa ciri yang dipertingkatkan berbanding pendahulunya.
Berbalik kepada peranti, Vivo kini dikatakan telah berkongsi mengenai tarikh pelancarannya menerusi sebuah video pendek dan dijadualkan berlangsung pada 19 Mei kelak. Pun begitu, video tersebut tidak pula mendedahkan sebarang maklumat mengenai spesifikasi utama pada peranti.
Walau bagaimanapun, beberapa poster acah mengenai peranti didakwa telah dikongsi dan secara tidak langsung ia memberi gambaran kasar mengenai penawaran peranti. Antaranya seperti hadir dengan binaan paparan berlubang, sokong rangkaian 5G dan skrin pada kadar segar semula 144Hz.
Selain itu, gambaran sebenar peranti ini juga dikatakan telah tertiris di arena web. Memetik imej tersebar, Vivo IQOO Z1 dilihat menyertakan nisbah skrin-ke-badan yang tinggi kerana ia mempunyai bezel yang nipis. Selain itu, ia juga membawakan rekaan berlubang pada skrin hadapan yang ditempatkan pada sudut kiri atas. Sedikit sebanyak, ia seakan-akan mengiyakan mengenai poster acah tersebar.