Samsung Galaxy S20 Plus diperkenalkan secara rasmi seiring dengan Samsung Galaxy S20 dan Samsung Galaxy S20 Ultra. Spesifikasi peranti kelihatan menarik seperti paparan AMOLED 6.7-inci, dijana pemproses Exynos 990 dan bateri 4,500mAh. Di samping itu, sokongan kamera juga tidak kurang hebatnya di mana menyertakan empat kamera belakang iaitu 12MP + 12MP + 64MP + 3D ToF.
Terkini, DxOMark telah berkongsi markah bagi kamera utama – memperlihatkan ia berjaya mencatatkan skor keseluruhan 118 mata. Sekaligus, menempatkan peranti ini di tangga ke-10 dalam carta ujian DxOMark. Peranti ini menerima skor 127 mata untuk kemampuan fotografi dan 100 mata pula untuk kemampuan videografi.
Menurut DxOMark, pujian diberikan kepada kemampuan penghasilan gambar dengan perincian yang tepat meskipun pada pencahayaan rendah, kemasan warna kelihatan jelas, julat dinamik yang luas dan kamera ultra lebar jauh berfungsi dengan jauh lebih baik. Beralih kepada kritikan, peranti ini dikatakan kurang memberi perincian yang jelas untuk imej jarak jauh dan hingar tidak dikawal dengan baik terutama pada pencahayaan rendah.
Untuk rakaman, ia boleh dikatakan baik dengan penyampaian tekstur yang baik, autofokus yang pantas dan penghasilan warna seakan dunia nyata. Pun begitu, terdapat juga kritikan yang diberi di mana hingar tidak dikawal dengan baik dan julat dinamik agak terhad.