Siri komputer riba gaming The Ultimate Force, ataupun ASUS TUF ialah model komputer riba kegemaran ramai kerana ia bukan sahaja hadir dengan spesifikasi gaming yang agak berkuasa, tetapi juga boleh dibeli dengan harga yang tidak begitu mahal.
Hari ini, ASUS Malaysia memperkenalkan dua model terbaru didalam siri komputer riba gaming TUF, iaitu ASUS TUF A15 dan TUF A17. Seperti yang tertera pada nama model, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan pilihan paparan bersaiz 15 dan 17 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz dengan sokongan teknologi FreeSync dan G-SYNC apabila disambungkan kepada paparan tambahan yang menyokong teknologi tersebut.
Kedua-dua komputer riba ini dikuasakan oleh tiga pilihan CPU AMD Ryzen 4000, termasuklah AMD Ryzen 5 4600H, AMD Ryzen 7 4800H ataupun AMD Ryzen 9 4900H. Kesemua model ASUS TUF A15 dan A17 dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD NVMe sebesar 1TB.
Dari segi pilihan GPU, anda boleh memilih untuk mendapatkan model dengan cip grafik NVIDIA GeForce RTX 2060, NVIDIA GeForce GTX 1660Ti, NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti dan NVIDIA GeForce GTX 1650.
Rangka dalaman dan luaran ASUS TUF A15 dan A17 diperbuat daripada aluminium untuk binaan yang lebih tegap, manakala komponen-komponen dalaman seperti memori dan storan boleh dinaiktarafkan oleh pengguna sendiri jika perlu tanpa masalah.
Menurut ASUS Malaysia, siri komputer riba ASUS TUF A15 dan A17 ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan bermula dari RM3499 untuk model spesifikasi paling rendah ASUS TUF A15 dan RM4299 untuk model dengan spesifikasi paling rendah ASUS TUF A17.