Cari @ Amanz

Facebook Gaming merupakan sebuah platform perkhidmatan permainan secara langsung yang membolehkan pengguna bermain sambil melakukan penstriman secara langsung. Difahamkan, setiap bulan lebih daripada 700 juta orang yang bermain, menonton dan berkongsi permainan di laman Facebook. Secara umumnya, lebih 40% daripada jumlah ini terdiri daripada kaum wanita.

Populariti platform ini kian meningkat saban hari dan Asia Tenggara merupakan kawasan yang paling popular dengan penawaran ini. Antara permainan mudah alih yang agak popular dan sering menjadi pilihan ialah PUBG mobile, Mobile Legends : Bang-Bang, Grand Theft Auto V, PUBG Lite dan Dota 2. Bukan sekadar bermain bersahaja, aplikasi ini juga boleh bantu menjana pendapatan jika dimanfaatkan sebaiknya. Seorang pemain boleh menjana pendapatan melalui tiga sumber iaitu iklan , jumlah bintang (mata wang pada aplikasi) dan sokongan peminat.

Bersempena dengan Ramadhan ini juga, Facebook Gaming turut menganjurkan beberapa aktiviti menarik secara atas talian seperti #BukaGeng, Global Ramadhan Campaign dan kejohanan PUBGM Friendly Tournament. #BukaGeng merupakan aktiviti di mana para pemain akan berkumpul dan berbuka puasa bersama secara atas talian. Untuk Global Ramadhan Campaign pula, ia membolehkan orang ramai meraikan bulan ini bersama pemain kegemaran mereka.

Akhir sekali, kejohanan PUBGM Friendly yang mana merupakan pertandingan persahabatan melibatkan sejumlah pemain Malaysia dan Indonesia. Tidak ketinggalan, Facebook Gaming juga bakal mengadakan acara besar-besaran dikenali sebagai Creator Games Battle of Heroes pada bulan Jun kelak. Dalam pada itu, aplikasi Facebook Gaming kini telah tersedia untuk Android.

Aplikasi ini direka untuk menawarkan pengalaman yang lebih mendalam mengenai kandungan Facebook Gaming dan ciri-ciri baru yang dibuat khusus untuk pemain. Antara ciri menarik pada aplikasi termasuklah permainan penstriman langsung dari aplikasi, berinteraksi dengan kandungan memfokuskan permainan dan banyak lagi. Bagi yang berminat, anda boleh memuat-turun aplikasi ini dan menggunakannya sebagai hab permainan mudah alih anda bermula hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd