Dengan harga telefon pintar yang kini semakin meningkat dengan fungsi-fungsi semakin kompleks, masih wujud segolongan kecil pengguna yang hanya memerlukan sebuah telefon selular dengan fungsi asas. Bagi golongan minoriti ini, Nokia 150 dan Nokia 125 telah dilancarkan oleh HMD Global sebentar tadi kedua-duanya adalah telefon selular biasa dengan sistem operasi Series 30+.
Nokia 150 dilengkapi skrin 2.4″, butang kawalan serta nombor fizikal dan sebuah kamera VGA lengkap dengan flash. Terdapat sokongan menambah storan menerusi kad mikroSD sehingga 32GB, Terdapat pemain MPS 3 terbina serta sokongan radio FM yang tidak memerlukan fon telinga.
Menerusi bluetooth 3.0, fail dapat dikongsi di antara peranti namun ia tidak menyokong tambatan aksesori audio. Menurut HMD Global bateri pada Nokia 150 boleh bertahan sehingga 23.4 jam atau melakukan panggilan telefon sehingga hampir 20 jam.
Nokia 125 mempunyai spesifikasi yang hampir setanding cuma tiada kamera disertakan langsung. Storan dalaman membenarkan simpanan sehingga 2000 nombor dan 500 khidmat pesanan ringkas.
Nokia 150 ditawarkan dalam warna hitam, biru dan merah pada harga $29 (~RM126) sebuah. Nokia 125 pula ditawarkan dalam warna hitam dan putih pada harga $24 (~RM104).