ASUS semalam telah mengumumkan bahawa siri komputer riba gaming TUF dan ROG Zephyrus mereka telah menerima kemaskini model baharu dimana ia kini hadir dengan pilihan CPU AMD Ryzen.
ASUS turut mengumumkan dimana siri komputer riba produktiviti mereka, iaitu ASUS VivoBook S14 turut menerima kemaskini ini bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru dengan CPU AMD.
Siri VivoBook S14 ini adalah sebuah komputer riba produktiviti yang hadir dengan rekaan warna yang unik dan menarik. Ia dilengkapi dengan sebuah paparan skrin 14 inci IPS yang berbingkai nipis dan mempunyai resolusi Full HD.
VivoBook S14 ini juga mempunyai engsel Ergolift Hinge yang menaikkan sedikit bahagian papan kekunci untuk pengalaman menaip yang lebih selesa berbanding dengan menggunakan papan kekunci komputer riba lain yang biasanya lebih mendatar.
Untuk model kemaskini ini, VivoBook S14 dikuasakan oleh pilihan AMD Ryzen 5 4500U ataupun AMD Ryzen 7 4700U, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD PCIe sebesar 512GB.
Diantara ciri-ciri menarik yang tiba pada VivoBook S14 ini termasuklah sokongan WiFi 6 yang membolehkan sambungan internet sepantas 1GB/s dan juga pengimbas cap jari terbina yang menyokong sistem log masuk Windows Hello.
Komputer riba ASUS VivoBook ini hadir dalam warna Dreamy White, Onyx Black dan juga Gaia Green, dan boleh dibeli bermula hari ini pada harga RM2899 untuk model Ryzen 5 dan RM3199 untuk model Ryzen 7.