Cari @ Amanz

Peluru Artileri Dengan Enjin Ramjet Dibangunkan Untuk Tentera Amerika Syarikat

Link Copied!

Senjata artileri dibangunkan oleh China pada kurun ke-14 selepas mereka berjaya mencipta serbuk peluru. Bermula dari China teknologi artileri diperhalusi sehingga menjadi senjata yang memberikan kemenangan kepada Sultan Mehmet ketika menawan Constantinople pada tahun 1453. Artileri masih memainkan peranan untuk tentera moden.

Kini peluru artileri generasi baharu akan dibangunkan untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat yang mampu memusnahkan sasaran yang terletak hampir 100 kilometer jauhnya.Peluru XM1155 untuk meriam artileri 155mm yang akan dibangunkan ini dilengkapi enjin ramjet secara terbina dan boleh memusnahkan sasaran yang terletak 97 kilometer dari posisi menembak.

Sebagai perbandingan peluru Excalibur yang digunakan sekarang hanya memusnahkan sasaran yang terletak pada jarak maksimum 32 kilometer. Kemampuan XM1155  ini adalah amat menakjubkan kerana meriam kapal perang terbesar dunia Yamato yang dianggap terbaik ketika Perang Dunia Kedua hanya mampu menembak sasaran sejauh 40 kilometer.

Kontrak membangunkan XM1155 dianugerahkan kepada Raytheon Missiles & Defence dan Nederlandse Organisatie voor Toegepast Natuurwetenschappelijk Onderzoek (TNO). Sekiranya XM1155 berjaya memenuhi kehendak tentera ia akan digunakan pada meriam berkaliber 155mm di darat dan tentera laut.

Kerana penggunaan kaliber standard, XM1155 tidak memerlukan sistem senjata baharu dan boleh digunapakai pada sistem sedia ada seperti M777 Howitzer.

Sumber Raytheon menerusi The Warzone Wire


Komen ()