Cari @ Amanz

Dell telah memisahkan jenama gaming mereka, Alienware daripada jenama induk tersebut, tetapi Dell sendiri mempunyai jenama gaming dibawah nama Dell G.

Salah satu daripada model-model tersebut ialah Dell G5 15, iaitu siri komputer riba gaming mampu milik bagi mereka yang lebih mementingkan prestasi sebuah komputer riba berbanding dengan aspek-aspek yang lain.

Dell G5 15 dilengkapi dengan skrin LED 15 inci dengan resolusi Full HD 1920×1080, tetapi pengguna diberi pilihan untuk menggunakan paparan dengan kadar segar semula 60Hz, 144Hz ataupun 300Hz, bergantung juga kepada kemampuan kad grafik yang dipilih.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, pengguna juga boleh memilih untuk menguasakan komputer riba ini dengan pilihan CPU Intel Core i5-10300H 4 teras ataupun Intel Core i7-10750H 6 teras, pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan storan dalaman SSD PCIe sehingga 1TB yang boleh ditambah jika diingini.

Pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti, GeForce GTX 1660 Ti, NVIDIA GeForce RTX 2060 ataupun NVIDIA GeForce RTX 2070 Max-Q untuk pengalaman gaming yang memuaskan.

Sebagai sebuah komputer riba gaming, papan kekunci Dell G5 15 ini juga dilengkapi dengan ciri pencahayaan RGB, manakala perisian Alienware Command Center membolehkan pengguna mengubahsuai pelbagai ciri-ciri dalaman komputer riba ini.

Dell G5 15 akan tiba di laman web Dell Malaysia bermula dari 26 Mei kelak, dan harga permulaan komputer ini ditetapkan pada harga RM 4499 untuk spesifikasi dalaman Intel Core i5 dan juga cip grafik NVIDiA GeForce GTX 1650 Ti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd