Cari @ Amanz

Salah satu daripada tabiat buruk saya apabila melayar laman web ialah membiarkan tab laman web terbuka dengan banyak atas “alasan” bahawa saya akan memerlukannya kemudian.

Google sedar akan perihal ini, dan melalui kemaskini pelayar Google Chrome akan datang, mereka akan mula memperkenalkan sebuah ciri yang membenarkan pengguna untuk menyimpan tab-tab secara berkumpulan.

Ciri ini meminimakan jumlah tab yang dilihat pada pelayar Chrome, dan membantu pengguna mengumpul tab-tab dalam kumpulannya sendiri, dan ini memudahkan mereka untuk mencari tab-tab yang diperlukan dengan cepat.

Untuk menyusun tab, pengguna hanya perlu klik-kanan pada tab, dan menekan pilihan “Add Tab To Group”, dan untuk kumpulan-kumpulan tab ini, pengguna boleh menukar nama dan juga warna untuk memudahkan pengenalpastian kumpulan-kumpulan tersebut.

Ciri ini akan dikeluarkan untuk pelayar Chrome di platform Windows, MacOS, Chrome OS dan Linux secara berperingkat. Mereka yang ingin mencubanya sekarang boleh mengemaskini pelayar Chrome kepada versi beta.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd