Cari @ Amanz

Setiap minit jutaan status dimuat naik ke pelbagai laman atas talian. Setiap hari juga jutaan kandungan yang jatuh ke dalam kategori jelik akan dimuat naik sehingga menimbulkan kemarahan. Di Perancis, sebuah undang-undang baharu telah diluluskan bagi memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendenda syarikat sehingga 4% nilai pendapatan global tahunan mereka sekiranya gagal membuang kandungan jelik.

Undang-undang baharu ini memberikan masa 24 jam untuk pemilik platform membuang kandungan yang dianggap jelik. Bagi kandungan berunsur pedofilia dan keganasan pula, mereka hanya diberikan masa 1 jam sebelum tindakan akan diambil. Kerajaan Perancis berharap dengan wujudnya undang-undang yang mengenakan nilai penalti yang tinggi ini, ia akan mengurangkan masalah penyebaran mesej jelik seperti mengapi-apikan semangat perkauman dapat dibendung di dalam talian.

Pada waktu ini platform seperti Facebook dan Twitter telahpun menggunakan kecerdasan buatan untuk mengesan kandungan yang mungkin melanggar garis panduan yang ditetapkan. Facebook misalnya mula melatih kecerdasan buatan yang boleh mengenalpasti meme yang menghina. Twitter pula menggunakan sistem yang sama dengan 50% kandungan yang dipadam dikesan lebih awal menggunakan perisian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd