Cari @ Amanz

Ninebot adalah syarikat di bawah naungan Xiaomi juga, yang mana memfokuskan kepada kenderaan ringan seperti skuter elektrik. Baru-baru ini mereka telah memperlihatkan sebuah skuter elektrik baharu dengan rekaan futuristik, hadir dengan fungsi pintar dan dijual pada harga sekitar RM1800 sahaja.

Skuter elektrik terbaru mereka adalah Air T15, ia menggunakan pemegang yang diperbuat daripada besi yang dilindungi dengan kerangka plastik yang mempunyai jalur cahaya. Pada bahagian atas turut mempunyai lampu yang turut membantu jalur cahaya tadi menyala dan menjadikan rekaan pada skuter ini lebih cantik. Pemegangnya turut mempunyai papan pemuka digital dengan skrin LCD yang nirbingkai. Skrin ini akan memaparkan maklumat kelajuan, aras bateri dan lain-lain. Seperti kebanyakan skuter elektrik lain, ia turut boleh ditambat pada telefon pintar untuk kawalan lain dan pemantauan data-data tambahan.

Untuk tayar, Ninebot menggunakan saiz tayar yang berbeza untuk di hadapan di belakang. Hadapan adalah saiz 6.0-inci dan 7.5-inci untuk tayar belakang. Ini adalah untuk memudahkan lagi cara melipat skuter ini ketika ingin disimpan. Air T15 ini menggunakan sistem kawalan yang serba baharu, yang mana menggunakan kawalan langkah pada madgad. Menghidupkan skuter ini adalah dengan madgad, begitu juga dengan proses membrek. Lampu brek pula menggunakan rekaan jalur cahaya menyeluruh untuk paparan yang lebih jelas dan rekaan yang kemas.

Air T15 ini mampu menampung berat sehingga 100KG, boleh mendaki pada sudut 15 darjah, memecut pada kelajuan 20km/h untuk jarak 12KM, bateri 4000mAh, sistem bateri pintar yang mengelak dari isu memasan dan boleh dicas sehingga penuh dalam masa 3.5 jam. Ninebot turut menyediakan kerangka penyimpan yang turut berfungsi sebagai dermaga pengecasan dan skuter elektrik ini turut mempunyai perlindungan IPX4. Berat keseluruhan adalah 10.5KG dan dijual pada harga RMB2,999 iaitu sekitar RM1831.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd