Bagi pengguna Instagram, mungkin anda sedia maklum yang mana perkongsian berbentuk siaran langsung hanya diterhadkan kepada tontonan selama 24 jam melalui Instagram Stories, sebelum ia dipadam sepenuhnya. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan, ramai mula menggunakan medium Instagram Live untuk berkongsi kisah dan membincangkan pelbagai perkara. Namun, agak sayang apabila ia hilang begitu sahaja tanpa diarkibkan.
Kini, pihak Instagram hadir dengan ciri yang mengatasi masalah berkenaan. Bermula hari ini, melalui ciri baru yang ditawarkan, perkongsian Instagram Live kini boleh disimpan ke IGTV.
Dengan langkah ini, siaran berkenaan boleh ditonton pengguna lain – walaupun selepas tempoh 24 jam. Ini juga akan memudahkan seseorang mengarkibkan kandungan, dan tidak kehilangan sesuatu perbincangan yang berharga.
Ciri ini diperkenalkan secara berperingkat, dan boleh diakses semua pengguna Instagram seluruh dunia.