Dianggarkan kurang daripada seminggu, Honor bakal melepaskan peranti terbaru mereka iaitu Honor X10 dalam sebuah acara pelancaran yang dijadualkan berlangsung pada 20 Mei ini. Sehingga kini, pelbagai spekulasi dan maklumat tertiris mengenainya telah didedahkan. Terkini, rekaan penuh peranti pula dikatakan telah diperlihatkan menerusi poster rasmi.
Memetik imej dikongsi, peranti ini dilihat mempunyai paparan penuh tanpa sebarang lubang dan takuk. Sebaliknya, ia dilengkapi rekaan kamera swafoto jenis pop-naik seperti siri Honor 9X. Beralih ke panel belakang, terdapatnya perumahan kamera berbentuk segi empat memanjang dengan persediaan tiga lensa utama. Selain itu, peranti ini juga dikatakan telah tersenarai di laman Vmall China yang mana memberi gambaran lebih jelas. Namun, spesifikasi dan harga tidak pula dinyatakan.
Khabar angin tersebar mendakwa Honor X10 dipercayai bakal dilengkapi skrin LCD sebesar 6.63-inci FHD+, dijana oleh cip Kirin 820 5G, memori sehingga 6GB dan storan sehingga 128GB. Selain itu, ia juga dijangka mempunyai gabungan lensa utama 40MP (f/1.8) + 8MP (f/2.4) + 2MP (f/2.4) dan bateri 4300mAH dengan pengecasan pantas 22.5W. Untuk spesifikasi penuh, sama – sama kita tunggu pelancaran rasmi kelak.