NVIDIA telah mula memperkenalkan cip pemprosesan grafik terbaru mereka, Ampere melalui kad grafik pusat data paling berkuasa mereka setakat ini, iaitu NVIDIA A100.
Secara ringkasnya, cip grafik NVIDIA A100 ini dibangunkan dengan proses binaan 7nm oleh TSMC dan mempunyai sebanyak 54 bilion transistor yang dipadankan dengan 40GB memori HBM2. Untuk menghubungkannya dengan GPU-GPU A100 yang lain, ia juga dilengkapi dengan teknologi penyambungan NVLink yang menjanjikan kadar penghantaran data selaju 600GB/s.
Sewaktu acara pengumumannya, Jensen Huang, CEO NVIDIA mengatakan bahawa prestasi cip grafik A100 ini adalah 20 kali ganda lebih baik berbanding dengan keluaran mereka sebelum ini, Volta.
Dengan cip grafik A100 ini, NVIDIA turut memperkenalkan sebuah format pengiraan data baru yang dinamakan TF32 yang jauh lebih cekap berbanding dengan apa yang digunakan sebelum ini.
Cip pemprosesan ini dibina khusus untuk tujuan-tujuan seperti pembelajaran mesin, kecerdasan buatan, pengiraan kompleks dan sebagainya. Oleh itu, NVIDIA telah mengemaskini mesin pelayan DGX mereka dengan cip pemprosesan ini yang dinamakan DGX A100 yang dilengkapi dengan lapan buah cip grafik NVIDIA A100 ini.
Menurut NVIDIA lagi, setiap satu mesin DGX A100 ini hadir dengan prestasi memproses data setinggi lima petaFLOPS, dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis aplikasi perindustrian. Diantara institusi-institusi pertama yang akan menerima sebuah DGX A100 ini termasuklah Argonne National Library untuk membantu dalam mencari vaksin untuk COVID-19, University of Florida dan juga German Research Center For Artificial Intelligence.
Setiap sebuah mesin NVIDIA DGX A100 ini dijual pada harga $199,000 (~RM850,000).