Malaysia sudah membenarkan industri untuk kembali beroperasi dengan penguatkuasaan PKPB dua minggu lalu. Pelbagai garis panduan telah diberikan oleh kerajaan bagi meningkatkan keselamatan tenaga kerja untuk kembali bertugas. Tetapi pada hari pertama sudah tersebar foto tular pembatasan sosial tidak dipatuhi di tempat kerja seperti kilang. pejabat dan tapak pembinaan, Seperti biasa masalah yang wujud hari ini akan cuba diselesaikan dengan teknologi sepantas esok.
Gelang Romware Covid Radius menyelesaikan masalah ini dengan bergetar apabila pemakaian gelang yang lain memasuki lingkungan 6 kaki. Semakin hampir seseorang kepada pekerja lain, semakin kuat getaran yang diberikan. Ia turut boleh melakukan pemantauan jumlah pekerja yang dibenarkan di dalam sesuatu ruang menerusi ciri geopagar. Apabila dikesan, notifikasi boleh diberikan kepada mandur tapak untuk mengurangkan pekerja ke jumlah yang dibenarkan.
Covid Radius tidak memerlukan capaian Internet untuk berfungsi kerana menggunakan sistem jalur ultralebar (ultrawide band). Selain kesemua ciri yang dinyatakan di atas ia juga berfungsi sebagai pengesan kontak yang menyimpan data pekerja berhampiran untuk memudahkan ujian dilakukan jika ada pekerja yang dijangkiti Covid-19. Pada waktu ini Covid Radius telah mula digunakan oleh pekerja pelabuhan Antwerp di Belgium.