Anda pernah tonton siri TV Netflix Black Mirror? Musim kelima ada satu episod yang Miley Cyrus berlakon, iaitu episod akhir “Rachel, Jack & Ashley Too” – ia memperlihatkan sebuah robot peneman kanak-kanak yang menggunakan data dan minda dari watak Miley Cyrus untuk menghiburkan para peminat. Robot ini mempunyai cara pertuturan kata yang fasih dan seakan manusia, bijak, dan mampu membuat keputusan sendiri.
Nampaknya robot tersebut akan menjadi realiti, tetapi diubahsuai untuk dijadikan sebagai peneman kanak-kanak. Robot ini adalah Moxie, ia dihasilkan oleh Embodied. Robot ini memfokuskan untuk mendidik anak-anak kecil, dan mempunyai ekspresi wajah realistik serta pergerakan animatronik yang lancar.
Moxie juga akan mempunyai tema berbeza setiap minggu untuk menyesuaikan diri dengan si anak kecil yang sedang menggunakan robot ini. Ada kala ia memfokuskan kebaikan, persahabatan, empati atau juga hormat.
Dari segi pendidikan, ia boleh mendidik untuk membaca, mendengar, melatih keprihatinan seperti bernafas, bermeditasi, membangunkan skil tersendiri dan juga emosi. Moxie juga boleh mendidik mereka menjadi lebih kreatif seperti melukis.
Robot Moxie ini menggunakan teknologi tersendiri Embodied, iaitu SocialX. Melalui teknologi ini ia boleh memproses, memberi maklum balas, bercakap secara natural, dan banyak lagi. Berdasarkan videonya juga ia kelihatan amat realistik dari segi bahasa dan juga mimik wajah.
Robot Moxie ini dijual pada harga $1,499, iaitu sekitar RM6522. Ia belum lagi boleh dibeli, tetapi perlu dipra-tempah dengan bayaran $50 sahaja.