Pada penghujung tahun lalu, kami melaporkan bahawa Dyson telah mengumumkan bahawa mereka telah membatalkan projek kereta elektrik mereka kerana risau akan prestasi komersilnya.
Baru-baru ini, The Times telah menemubual Sir James Dyson, pengasas syarikat tersebut yang juga telah memperlihatkan rekaan fizikal kereta elektrik tersebut, yang diberikan kod nama N526.
Ia adalah sebuah kenderaan SUV yang mempunyai rekaan seakan-akan Range Rover Evoque yang boleh memuatkan tujuh orang dan mempunyai jarak perjalanan sekitar 965KM dengan satu pengecasan penuh bateri solid state keluaran mereka sendiri dengan kelajuan ~200KM/J.
Rekaan dalaman kenderaan tersebut juga diperlihatkan, dimana selain tempat duduk yang minimalis dan selesa, perkakasan seperti meter dan sebagainya diperlihatkan melalui antaramuka HUD yang terapung seperti hologram.
James Dyson mengatakan bahawa sebelum projek kereta elektrik tersebut telah menelan belanja wang sebanyak £500 juta sebelum ia terpaksa dibatalkan kerana beliau merasakan ia tidak mempunyai sebarang keuntungan secara komersil.
Walaupun begitu, semua jurutera yang ditugaskan untuk membangunkan kereta tersebut telah diletakkan di bahagian-bahagian lain, diantaranya untuk membangunkan teknologi bateri solid state untuk peranti-peranti lain.